Aug 8, 2013

Qiamulail Perdana

Suasana ibadah 3.00 am, 4.00 am berjemaah, bersahur 5.00 am & 6.00 am bersama teman sejati muslim, Al Quran.

Ramadhan. Saya sedih akan kepergiannya. Dalam sebulan, saya hanya menikmatinya dalam bibit-bibit kehidupan yang serba sibuk. Saya pastikan hati yang menangis ini sentiasa terubat dengan berbekalkan pengalaman menyambut ramadhan tahun lalu dan senaskah Al Quran mini.

 Saya tidak berasa iri hati dengan manusia yang dapat menunaikan solat terawih berjemaah di Masjid. Namun saya lebih memikirkan bagaimana saya ingin menghabiskan Ramadhan kali ini dalam aplikasi kehidupan yang lebih menyeluruh erti ibadahnya. Dari kata-kata sehinggalah ke perbuatan.

 Ibadah tidaklah dilihat menerusi ibadah sunat yang diterjemahkan menjadi budaya semata-mata, bahkan ia lebih dari itu. Bagi saya ia bagus untuk memupuk sifat suka akan ibadah, kerana di Masjidlah kebiasaanya akan terbit rasa atau kefahaman akan ibadah-ibadah yang lain dalam kehidupan seharian. Disamping memperingatkan kita akan ramadhan menerusi suasana di sekitar masjid.

 Bagi yang sibuk seperti saya, tiada lain melainkan menterjemah sepenuhnya ibadah kepada kehidupan bagi merasai erti kedatangan Ramadhan kali ini. Alhamdulillah di penghujung Ramadhan kali ini saya masih berkesempatan untuk beriktikaf di Masjid Besi, Putrajaya.

 Inilah masanya saya mengumpul pahala sebanyak mungkin di samping berkongsi kemeriahan Ramadhan yang bakal meninggalkan kita.. Ramadhan tahun yang mendatang belum tentu milik kita.




Aug 7, 2013

Kenangan meraikan sahabat Muslim & Non Muslim D'Iftar Ramadhan 2013

1 Kg Lamb Kabsah & Chicken Kabsah

Kira-kira seminggu dari tarikh hari ini umat Islam seluruh dunia bakal menyambut ketibaan bulan Syawal. Hari ini merupakan hari terakhir peperiksaan mid sem di kampus. Sekaligus merupakan hari terakhir saya dan rakan-rakan berbuka bersama sebelum pulang ke kampung halaman masing-masing.

 Dengan keberkatan di bulan Ramadhan, saya mencadangkan agar rakan-rakan ke kampung halaman saya untuk mneikmati hidangan Nasi Arab yang sedap. Bagi saya Nasi Arab di Syeksen 7 Bandar Baru Bangi sedap kerana ia boleh dikatakan sama seperti juadah yang saya pernah nikmati di tanah Arab beberapa tahun lalu.

 Berbanding restoranya di tempat-tempat lain sekitar Kuala Lumpur. Setelah memepersetujui dan sesat selama dua jam perjalanan dari Shah Alam ke Bangi, akhirnya sahabat saya Eqal dan dua lagi Non-Muslim selamat tiba dan berbuka bersama-sama.

 Tiada apa yang lebih bermakna daripada erti sebuah persahabatan. Kebetulan rakan Non-Muslim saya lebih terbuka dan suka lepak sambil melayan suasana sekitar di Masjid Besi, Putrajaya. Selepas berbuka, kami ke sana seperti yang dihajati mereka. Semoga Allah memberi petunjuk kepada mereka yang mencari.




Aug 6, 2013

VW Beetle saya untuk raya

1.3 Boxing engine

Sebelum siap-siap ke kelas, saya sempat menjenguk menerusi tingkap merenung jauh ke arah VW Beetle-ku yang sudah tiga hari tidak digunakan. Terasa bersalah meningalkanya sendirian. 

Mana mungkin semudah itu saya melupakan jasanya, setelah memandu Rusa (alternatif) yang baru sahaja dibaiki enjinnya. Kini keadaanya lebih mantap dan selesa. Bezanya, ia sedikit tinggi berbanding VW dan ini menambah keyakinan saya sewaktu memandu atau semasa tersangkut kesesakan di jalan raya.

 "Abah, orang ingat nak hantar VW pergi repair-lah. Berapa ek agak-agak harganya ?" abah terdiam seketika. Sebab abah terlebih dahulu telah membelanjakan jumlah wang yang banyak untuk membaiki semula Rusa baru-baru ini.

 Mungkin pada sangkaan abah, saya akan memintanya menanggung kos membaiki kereta sekali lagi. Namun jawapan saya kepada abah, tidak sama sekali. Saya serba salah. Niat di hati mahu menyimpan wang biasiswa untuk tujuan nikah. Berbulan-bulan lamanya jumlahnya saya kekalkan dalam akaun simpanan.

 Walaubagaimanapun demi keselesaan saya dengan VW, tidak salah jika 1/3 dari jumlah biasiswa  tersebut dibelanjakan. Saya pasrah. Mungkin inilah takdirnya. Mak juga sentiasa menasihati agar sentiasa berlapang dada dan terbuka.

 Katanya wang mudah didapati. Usah risau jika mahu dimurahkan rezeki. Kuncinya, sentiasa menjaga hubungan dengan Allah dan sesama manusia. Semoga VW-ku sihat, ceria dan laju semula di bulan Syawal nanti.