Segala memori manis ramadan dan syawal tersimpan rapi di hati. Tidak sah rasanya hari raya diraikan tanpa melawat ke rumah sanak saudara. Perut pun tidak henti-henti diisi dari satu rumah ke rumah yang lain. Simbiosis, tuan rumah menyediakan hidangan lazat, tetamu makan dengan penuh selera.
Syawal kali ini juga terasa kelainannya. Ada sesuatu yang istimewa. Kesudian ibu dan ayah tercinta serta adik beradik tersayang menemani aku ke rumah kampung si teman sangat aku hargai. Dari Bukit Gambir menuju ke Parit Nombor 10, bermulalah perjalanku sekeluarga dengan riangnya. Sedikit sukar mencari jalan ke situ, almaklumlah pertama kali. Lebih rumit, lokasi yang dituju tiada di dalam GPS si abang! Kecoh jadinya.
Namun, berbekalkan arah yang diberi oleh si teman, aku sekeluarga redah juga. Tatkala melihat papan tanda Parit Yusuf, Muar, aku semakin yakin lokasi dituju sudah semakin hampir. Akhirnya, setelah tersesat dan bertanya kepada orang, sampai juga kami di rumah kampung itu. Waktu menunjukkan pukul 2 petang, cuaca baik namun panas membahang.
Si teman dan keluarga serta sanak saudara sudah menunggu kami. Walaupun permulaannya agak kekok kerana pertemuan antara dua keluarga ini adalah yang pertama kalinya, tetapi keadaan semakin baik selepas perbualan dimulakan. Aku bersyukur kerana setelah sekian lama, pertemuan antara keluargaku dengan keluarganya seperti yang aku idamkan berlaku juga.
Aku melihat sahaja si teman menuangkan air ke dalam gelas kami. " Sedapnya kalau dapat minum air sejuk," aku mengomel perlahan. Sedikit hidangan kuih-muih disajikan. Sebaik sahaja tangan mencapai gelas, hati kecil berbisik, " Kenapa gelas ni panas?". Aku teguk sedikit, " Oh, sarsi suam! Jawa totok rupanya keluarga teman aku ni,". Kami mula berpandang-pandangan sesama sendiri, rasa lucu cuba ditahan agar tidak mengecilkan hati tuan rumah.
Kami bersalaman dengan tuan rumah dan meminta diri untuk berkunjung ke rumah seterusnya. Masuk sahaja ke dalam kereta, kami sekeluarga ketawa besar. Tidak sangka, peristiwa tahun 70-an ketika bapa saudaraku berkunjung ke rumah seorang kenalan jawa, berlaku pula kepada aku sekeluarga. Bezanya, dia dihidangkan dengan air sirap suam sementara aku dengan sarsi suam. Sedikit inovasi di situ, hehe.
Aku tersipu-sipu malu diusik oleh keluarga. Hilang kemachoan yang aku pertahankan selama ini. Namun, jauh disudut hati, kenangan ini sangat bermakna kepada aku dan keluarga. Semoga ikatan kekeluargaan yang dibina ini berpanjangan hendaknya. InsyaAllah...