Ulul Albab.
Pokok yang diserkup sepenuhnya belum tentu dapat tumbuh meninggi tanpa cahaya. Analogi mudah yang boleh dikaitkan dengan beberapa perkara harian di dunia ini.
Tidak dapat tidak, rata-rata bersetuju rakyat Malaysia kurang berminat untuk membaca. Kajian mendapati purata bahan bacaan rakyat Malaysia dalam setahun adalah bersamaan sehelai muka surat akhbar. Sungguh menjengkelkan !
Semestinya aku berasa kurang senang apabila bangsa sendiri diperlekeh sebagai malas atau kurang pandai. Ironinya, tidak pula si pembuat kajian menginterpretasi masalah kurang membaca rakyat Malaysia ini sebagai kelebihan iaitu genius ! =)
Berbalik kepada contoh proses serba ringkas pertumbuhan pokok di atas, boleh aku katakan seperti ada yang tidak kena. Mana mungkin jalan penyelesaian kepada isu terbabit dapat dicapai, selagi mana harga untuk memiliki sebuah buku di sini masih mengatasi negara seperti UK, yang tinggi purata membacanya. Ini disebabkan kos penerbitannya yang agak tinggi, kesannya peluang untuk mendapatkan pembeli buku berkurangan.
Di samping harga buku yang kurang menarik minat pembaca di Malaysia, para penulis juga terpaksa berhempas pulas dek perjanjian yang berat sebelah. Tidak hairanlah, kalau-kalau masih ada lagi penulis yang ditipu atau hasil tidak setimpal dengan usaha. Kesannya negara kekurangan penulis-penulis yang inovatif serta mampu membuka minda masyarakat, hanya dek kerana peluang penulis mendapatkan royalti terjejas .
Tidak guna menunding jari atau sekurang-kurangnya mengatakan orang kita tidak mampu menghasilkan karya sehebat barat. Paling tidak, apa sahaja yang dihasilkan orang luar adalah lebih baik.
Pihak berkuasa sewajarnya memandang serius, barangkali dengan mengambil langkah-langkah seperti berikut:
- Subsidi kos penerbitan buku,
- Memberi perlindungan kepada penulis,
- Menyeragamkan syarat-syarat antara penerbit dengan penulis kepada semua syarikat penerbitan buku
- Mengenakan tindakan terhadap syarikat penerbitan sekiranya didapati menyalahi undang-undang.
No comments:
Post a Comment