Oct 24, 2012

Kopi Senyuman Terkurang Gula

Petikan daripada Iklan Hari Raya Aidilfitri, Petronas.

Di Kaunter Pertanyaan

 " Assalamualaikum, boleh saya dapatkan pass pelawat untuk ke tingkat tiga atas urusan dokumen pinjaman."

 " Berikan IC awak dulu." Balas Pegawai Keselamatan wanita itu.

 Saya meminta izin terlebih dahulu sebelum menghulurkan kad pengenalan kepadanya. Kebiasaanya pihak security akan segera menguruskannya sejurus mendapat maklumat lengkap.

 Saya perlu mendapatkan pass masuk, bagi membolehkan saya lepas segala pemeriksaan keselamatan. Lain ceritanya, andai saya seorang Bad Man atau Tony Stark-Iron Man versi anak Melayu. 

 " Awak nak ke bahagian pinjaman mana tadi ?" Soalnya kembali.

 " Saya nak ke Bahagian Pinjaman Pelajaran kak. Pegawai berkenaan pinjaman pelajaran minta saya supaya berjumpa dengannya di tingkat tiga." Jawab saya. Soalan yang sama ditanya berulang kali olehnya, mengimbau kenangan saya sewaktu menonton iklan Hari Raya Aidilfitri Petronas. 

Mana perginya gula dalam senyuman ?

 " Bahagian Pinjaman Pelajaran yang mana satu ?" Soalnya lagi.

 Bahagian Pinjaman Pelajaran juga perlu di described jenis apa ke ? aduh janganlah harapkan saya hafal semua nama penuh Jabatan di situ.

 Saya orang luar yang baru pertama kali bertandang. Maafkan saya. Kalau mahu saya jawab nama penuh Jabatan tersebut, baik saya jadi president di tempatnya bekerja.

 " Pinjaman pelajaran macam mana yang akak maksudkan ya ? sebabnya saya baru sahaja secara tidak sengaja terserempak dengan pegawai berkenaan di Lobi. Beliau sendiri memberitahu saya agar menemuinya semula selepas mendapatkan pass pelawat. Kalau tak silap, di Bahagian Pinjaman tingkat tiga. Maaflah, saya sendiri tidak ingat nama penuhnya."

 Saya tersengih dengan soalan yang sama diajukan kak security. Sedikit hairan dengan pe'elnya. Tidak mengapa dengan sikapnya, asalkan saya dapat pass pelawat.

 Alhamdulillah mujur keadaan masih terkawal dan saya mampu menahan sabar. Jika tidak, apa guna saya ke sekolah selama ini.

 " Iyalah, saya tanya awak nak ke pinjaman pelajaran yang mana satu ?" Suaranya sedikit tinggi sambil memandang sinis ke arah saya.

 Saya bertambah curiga dengan pandangan tidak berlesennya. Sekali-sekala saya mengarahkan hidung yang mancung persis Shah Rukh Khan ini, mendekati ketiak untuk mencium baunya.

 Manalah tahu andai bau badan saya atau hingus yang melekat pada pakaian menjadi punca dia bersikap sedemikian rupa. Ternyata saya tidak bersalah.

 Saya bersih daripada segala masalah. Barangkali dagu yang licin tanpa sebarang janggut ini telah menguatkan stigmanya, 'saya sekadar anak muda yang tidak perlu dihormati.'

 Kisah bertradisi anak muda tidak dihormati, telah terlukir dalam kitab Al-Quran semenjak dari zaman Nabi Ibrahim a.s lagi. Jadi ? no wonder-lah saya juga diperlakukan begini.

 " Bahagian PINJAMAN-lah kak. Nak tanya lebih-lebih berkaitan nama jabatan, saya tak tahu." Saya membalas dengan nada yang memadai menghormati usianya.

 Tolonglah faham keadaan pelawat yang serba serbi naif. Paling tidak hormat dengan urusan pelawat yang sanggup bersusah payah untuk ke situ.

 Dibuli Mak cik security

 " Ok kalau begitu, nah ambil kad pengenalan awak semula ! terus ke bahagian permohonan dan isi borang di tingkat dua, gunakan escalator sahaja tak perlu naik lif." Balasnya sambil mengempan dengan muka masam mencuka. 

 MasyaAllah.. saya terdiam seketika, bagaimana saya boleh dibuli oleh mak cik security, sedangkan saya adalah pelawat ditempatnya bekerja. Saya tidak minta hamparan karpet merah, saya cuma minta pass pelawat untuk membolehkan saya naik lif dan berjumpa dengan pegawai berkenaan.

 Jangan kerana pelawat tidak ingat nama penuh jabatan, mereka dilayan sebegitu bodoh sekali. Ini bukan akaun Pacebook yang perlu di Log-in, mak cik.

 Tiada kaitan langsung dengan permohonan. Tujuan asal saya ke mari sekadar ingin menyelesaikan beberapa perkara berkaitan dokumen.

 " Kakak.. saya sebenarnya mahu ke tingkat 3, baru sebentar tadi saya berjumpa dengan pegawai berkenaan dan dia yang menyuruh saya berjumpa dengannya di atas. "

 " Awak tak perlu ke tingkat tiga ! dan awak tidak perlukan pass ini."

Ralat & pandangan

 Ewah mak cik security, ini sudah lebey tau. Sesuka-suki sahaja tentukan hala tuju saya. Bukan nak cakap helok-helok dan sopan santun. Mana etika kerja ?!

 Kalaulah yang datang itu orang kampung, atau insan yang berpakaian tidak mengikut protokol sekalipun, tugas awak hanya melayan pelawat dengan baik dan menasihati. Bukan mengarah atau menunjukkan reaksi yang kurang baik. Awak security, bukan raja segala haiwan di rimba.

 Tidak semena-mena, muncullah seorang security lelaki berpangkat sedikit tinggi daripadanya dari arah belakang.

 " Oh kalau begitu, berikanlah pass itu kepada dia. Teruskan destinasi tuan." Katanya sambil tersenyum.

 Terima kasih kerana bersikap baik, setidak-tidaknya saya tidak melepaskan kata-kata 'Sila pergi kursus dan belajar !', sebelum menoleh keluar daripada menara itu.

 Sebaliknya, saya sempat menghadiahkan kepadanya sekeping kad yang tertulis ayat-ayat nasihat. Semoga dengan kad yang sekecil itu, sedikit sebanyak dapat menginsafkan hatinya untuk menghormati orang lain.

 Sentiasalah menyimpan kad kecil di dalam poket, yang tertulis kata-kata motivasi atau nasihat. Semoga Allah SWT mempermudahkan kita menjalani kehidupan harian sambil berdakwah.

Contoh Kad kecil.


Oct 10, 2012

Tips cemerlang menghadapi PMR versi Dr.ridoma

Andai hari ini sukar bagimu,
pasti ada kesenangan sesudah itu.

 Kisah semasa di tingkatan tiga semuanya manis. Hanya sekolah, pusat tusyen dan padang ragbi yang ingin dituju setiap hari. PMR bukanlah sesuatu yang memberatkan kepala. Apa yang terlakar di minda, hanyalah keterujaan tahap ekstrim untuk mempelajari teknik-teknik baru dalam permainan ragbi dan kejohanan yang bakal berlansung.

 Namun rutin sebelum ke padang ragbi pada sebelah petang, saya akan meluangkan masa sekurang-kurangnya empat jam menjawab soalan latih tubi PMR yang telah disediakan oleh Great Teacher Faisal, GTF gila-gila gamaknya. GTF merupakan bekas pelajar MRSM, jadi caranya mencorak saya agak sedikit berbeza berbanding pusat tusyen lain.


 Tekniknya, saya diberi sebuah meja jepun dan kebebasan bersama rakan-rakan untuk lepak di rumah sewa yang diubah menjadi pusat tusyen dan wajib menyiapkan set soalan PMR sampai lebam mengikut masa yang telah ditetapkan. Jikalau tidak, cikgu tidak akan membawa kami pergi berjalan-jalan atau belanja makan roti canai bersama air suam.

 Tidak mengapa, asalkan GTF masih menghormati waktu saya beriadah di padang ragbi bersama rakan-rakan tersayang. Hakikatnya, mak dan ayah pula tidak pernah merestui saya bermain ragbi, katanya permainan ini bahaya.

 " Kalau nak patah-patah tulang, mainlah ragbi ! ". Sebaiknya kita diam, dan jangan menjawab.

Cita-cita disimpan sendiri,
cita-cita buat dikongsi,
cita-cita menawan hati,
cita-cita membantu kami.

 Syukur walaupun begitu kata-kata mereka, jauh di sudut sanubari mereka amat mempercayai saya selaku anak yang tersangat baik ini. Jarang sekali mereka mengintai beg galas saya setiap kali ke pusat tusyen.

 Kepercayaan yang mereka berikan jangan sekali-kali di sia-siakan. Kebiasaannya sebelum ke pusat tusyen, saya akan mengisi kekosongan beg dengan sebatang pen, sebuah kitab latih tubi, sepasang stokin, but dan sebiji bola ragbi. Terasa hidup ini sungguh bermakna setiap hari ke sekolah tanpa sebarang masalah.

 Sampai ke satu tahap, rutin mengayuh basikal sejauh dua puluh kilometer pergi balik dari rumah, pusat tusyen dan sekolah sudah menjadi ala bisa, tegal biasa bagi saya. Syoknya mengayuh basikal menikmati keindahan alam sambil deruan angin menampar-nampar pipi yang comel ini. Tersenyum lebar senang hati.


 PMR ? cukuplah sekadar tanggungjawab di pusat tusyen dilaksanakan. Minta maaf banyak-banyak, usah difikirkan lagi di atas padang.

 Namun kebahagian selaku pelajar tingkatan tiga yang hot merangkap pemain ragbi sejati sekolah tidak berpanjangan. Segalanya bermula sewaktu saya sedang seronok berlatih bersama rakan-rakan tersayang.

 Tiba-tiba bahu yang bersambung dengan dada sasa dan bidang ini tergelincir daripada tempatnya, DISLOCATED! akibat berlaga dalam latihan.

 Hanya Allah sahaja yang tahu bertapa peritnya kesakitan ditanggung. Apa yang boleh saya katakan 'TOBAT TAK NAK MAIN LAGI'.

Jauhkan alpa,
 moga berjaya di akhirat dan dunia.

 Apakan daya, jangan harap setitis air mata ini akan membasahi pipi. Selaku lelaki sejati, sungguh tidak macho sekiranya kejadian-kejadian menjerit atau menangis berpunca daripada saya.

 Situasi berjaya dikawal dengan baik sekali. Bermuka selamba sambil mengendong sebelah tangan, berjalan ke luar padang. Inilah hari yang paling malang, terpaksa mengayuh basikal ke rumah sambil sebelah tangan lagi tidak bermaya. Sakit.

 Kisah cedera yang kononnya ingin dirahsiakan daripada pengetahuan mak dan ayah, akhirnya terbongkar jua. Kakak yang diharapkan membawa ke klinik tidak berjaya mengawal mulut becoknya lalu membocorkan rahsia kepada mak.


 Saya berjaya di lecture sepuas-puasnya walaupun belum sempat menjejakkan kaki ke kampus, terasa dunia seperti ada mak dan ayah sahaja. Tiada lagi bunyi cengkerik dikala sunyi.

 Bebel tanpa henti mewarnai suasana di sekitar anak telingga saya. Dalam keadaan begini, jiwa perlu kental menghadapi situasi.

 Alhamdulillah, walaubagaimanapun kecederaan yang di alami sempat sembuh sebelum tarikh PMR bermula. Kisah ragbi tidak terhenti di situ sahaja, ragbi dan jiwa ini tersimpul mati. Kesan motivasinya yang tinggi dan sering menerapkan fokus sewaktu di atas padang telah memberikan kelebihan mengatasi gemuruh jiwa dalam dewan peperiksaan.

Kurniakan ku kesenangan
 sesudah ku berusaha.

 Teknik berani ini diaplikasi sepenuhnya, seolah-olah sedang menghadapi pihak lawan sewaktu di atas padang. Peka dengan soalan PMR, samalah seperti peka dengan keadaan dalam kejohanan.

 Jika pihak lawan menyerang, jangan sesekali terlepas pandang. Gerak harus teliti, maranya segera disekat. Pastikan pihak lawan di tackle bersih, sehingga tercampak keluar dari padang. Barulah macho.


 Begitulah pengalaman sewaktu kali pertama beraksi untuk Kejohanan Majlis Sukan-Sukan Daerah. Penonton di luar padang rata-rata terhibur sambil menepuk tangan melihat aksi tersebut. Itulah pingat pertama yang berjaya diraih dalam Kejohanan Ragbi ketegori tujuh sebelah.

 Berbalik kepada kisah peperiksaan, pengalaman beraksi dalam Kejohanan Ragbi telah mengajar saya cara mengatasi gemuruh. Terutamanya sewaktu pertama kali mendapat set soalan PMR di dalam dewan peperiksaan.

 Apabila gemuruh hilang, bermulalah keyakinan yang tiada tolok bandingnya. Mata pena ditekan erat di atas helaian kertas dengan penuh semangat berkobar-kobar. Mengisi kekosongan di atas hamparan kertas putih yang tidak sedikit pun mengenal erti simpati buat calon PMR yang tidak mampu menjawab.


 Kapasiti teori amatlah penting, terutamanya sebelum memulakan latih tubi dan sebelum mengambil kira masa terpantas bagi setiap soalan yang dijawab. Saya amat berterima kasih kepada GTF kerana berkat kemahiran yang dibekalkan olehnya, saya berjaya menyiapkan setiap soalan dengan cepat sambil bersila panggung.

 Masa selebihnya digunakan untuk menyemak kembali sepuas-puasnya sebelum kertas dikutip pengawas peperiksaan. Keputusannya ? terbaik seperti semangat permainan ragbi yang berkualiti tinggi, HD.
Ping Blog

Oct 7, 2012

Gersang di bulan pertama pengajian




Permulaan hidup yang ceria,
membawa ke akhir yang sejahtera.

 Putera Sg.Chua, hensem dan bijak. Kini sering memikirkan persediaan untuk mempermudahkan urusan sehariannya. Baik hal akedemik mahupun hal kehidupan sebagai seorang mahasiswa ijazah di rantauan.

 Jauh berbeza berbanding semasa bergelar mahasiswa diploma di IPTA dulu. Kini kehidupan sangat mencabar dan memerlukan kekentalan yang luar biasa. Siapa yang pernah merasa, mungkin mereka lebih tahu. Hanya ketenangan abadi mampu mengekalkan kesejahteraan hidup.


Cinta-cinta warna keceriaan,
Cinta-cinta ayat ketenangan,
Cinta-cinta amal perbuatan,
Cinta-cinta Nya sepanjang zaman.

 Mujur Allah menemukannya dengan sahabat serumah yang baik. Gelak tawanya penawar hati yang lara, kuat dan pasrah diuji sepanjang perjalanan usia. Mereka antara mahasisiwa jurusan perubatan tahun tiga. Kental memulakan pengajian terpuji seawal usia 28 tahun.

 Tiada apa yang menjadi halangan, asal minat dan semangat ditiup sepanjang zaman. Katanya, di sini pelajar bukan sekadar memikirkan hal akedemik, bahkan hal urus kehidupan seharian juga.

 Seperti kulit, semakin banyak digunakan, maka permukaannya semakin kasar dan mengeras. Seperti sistem pertahanan badan, semakin banyak bakteria yang dikenalinya, semakin kuat antibody melawan penyakit.

 Begitu juga dengan peribadi manusia yang menghadapi kitaran hidup penuh rintangan. Mereka lebih kuat menghadapi rintangan dan lebih besar peluang untuk berjaya di kehidupan luar kampus. Perancangan untuk berjaya sangat penting. Dalam perniagaan, rugi itu pasti. Selaku lelaki yang bergelar mahasiswa, maka gunakan kelebihan otak bergeliga sebagai persediaan menghadapi kebarangkalian ini.


Intai-intai peluang yang ada,
Tiada yang tahu rezeki dimana,
Andai geraknya teliti,
InsyaAllah jayanya pasti..

 Pengalaman berharga, aset seseorang dalam dunia jual-beli ini. Berhutang jika perlu, dalam berhutang, berhutang lagi. Pastikan ada cara pasti mampu untuk membayar setiap hutang. Bahagikan mengikut peruntukan yang telah diasingkan. Kata seorang mentor perniagaan, ada orang takut membuat sesuatu hanya kerana alasan dia sedang berhutang.

 Nasihatnya, dalam berhutang mesti masih boleh berbuat baik dan kebajikan kepada orang. Jangan jadikan alasan sekiranya ingin berbuat baik. Jika mahu menunggu hutang habis dilangsaikan, maka sampai bila-bila sekalipun belum tentu kita mampu melaksanakannya.

 Berpandukan beberapa pengalaman comel dalam perniagaan cokelat secara kecil-kecilan. Putera Sg.Chua komited dalam misinya menumbangkan tembok-tembok kesangsian. Bergerak dalam seribu ketelitian, jatuh terus bangkit satu kemestian. Usah berputus asa dengan rahmat Allah yang sangat luas.