Jun 7, 2011

Pembekuan sementara waktu pengambilan pekerja oleh sektor kerajaan

 Benarkah pihak kerajaan bakal membekukan pengambilan pekerja baru untuk sementara waktu ? apakah tindakan ini tidak akan memberi sebarang kesan kepada kenaikan jawatan atau barangkali tempoh persaraan akan di lanjutkan ? yang pasti, ini hanyalah secebis daripada perbualan di kedai kopi.

 Pelbagai perkara bermain di benak fikiran sesetengah masyarakat saban hari. Semestinya perkhabaran terbaru ini memberi impak kepada semua pihak. Bagi pasca siswazah, sudah ada yang berkira-kira terpaksa mengangur sementara waktu. Tidak ketinggalan, ada juga yang terfikir peluang untuk mendapat tempat menjadi semakin sukar dek kerana persaingan sengit yang perlu ditempuh.

 Mengapa ini berlaku ? ramai yang berpendapat, bahawasanya kerajaan sedang mengalami kesempitan modal. Tidak mampu membayar gaji pekerja.

  Bagi aku, perkembangan ini perlu dilihat dari satu sudut yang membangun dan positif. Terutamanya dalam memberi penekanan kepada landskap pertumbuhan ekonomi baru negara yang bersandarkan hasil sektor swasta. Harus diingat, dalam proses kita menuju ke arah wawasan 2020, mahu tidak mahu beberapa transformasi perlu direncana.

 Dasar landskap ekonomi lalu masih relevan, namun sedikit sentuhan baru diperlukan untuk menjana pendapatan yang lebih tinggi. Demi merealisasikan wawasan 2020, pihak kerajaan perlu memperkasakan sektor swasta untuk menjana pertumbuhan ekonomi jangka masa panjang negara.

 Sektor swasta sudah semestinya mampu mengurangkan beban subsidi kerajaan mahupun modal pembangunan negara. Maka wang yang sedia ada bolehlah disalurkan kepada cabang-cabang tertentu. Misalnya, pengurangan beban kos perkhidmatan kesihatan yang selama ini terpaksa dipikul rakyat kini boleh didapatkan secara percuma. 

 Ini bermakna, syarikat swasta dalam masa yang sama juga terpaksa menghadapi persaingan sesama mereka terlebih dahulu untuk menjadi terbaik dari yang terbaik sebelum berjaya mendapat peluang yang telah disediakan oleh pihak kerajaan.


 Inilah yang menjadi amalan negara Jepun sejak sekian lama. Syarikat-syarikat tempatan yang telah berjaya memenangi persaingan, secara langsung telah memberi peluang kepada rakyat untuk merasai kualiti kehidupan yang selesa dan lebih baik disamping menyukarkan syarikat-syarikat dari luar mendapat peluang di sana.

 Berbalik kepada keluhan masyarakat di awal tadi, maka boleh kita katakan di sini, pembekuan pengambilan pekerja sementara waktu oleh sektor kerajaan tidak seharusnya dipandang dari satu sudut semata-mata.

No comments: